Monday, April 26, 2010

PERISTIWA MENCARIK ADAT (KARAMAH) YANG ZAHIR PADA AS-SAYID SULTAN AL-ARIFIN SYEIKH ISMAIL R.A.

PERISTIWA MENCARIK ADAT (KARAMAH) YANG ZAHIR PADA AS-SAYID SULTAN AL-ARIFIN SYEIKH ISMAIL R.A.
(Dipetik daripada buku Menyingkap Misteri Pulau Besar. Penulis ;ana faqir / Safuan bin Abu Bakar bin Mas`ud bin Hassyim. Penerbit buku ; Penerbitan Seribu Dinar Sdn Bhd.)


SALASILAH KETURUNAN...

1-SAIDINA MUHAMMAD RASULULLAH s.a.w

2- Saidina Ali k.a.w dan isterinya Saiyidah Siti Fatimah al-Zahra.

3-As-Sayid Imam Hassan al-Sibthi r.a.

4-As-Sayid Hassan al-Musanna r.a

5-As-Sayid Abdullah al-Mahdhi r.a.

6-As-Saiyid Musa al-Jauni r.a.

7-As-Sayid Abdullah r.a

8-As-Sayid Musa r.a

9-As-Sayid Daud r.a

10- As-Sayid Imam Muhammad r.a

11- As Sayid Yahya al-Zahid r.a

12- As-Sayid Imam Abdullah r.a

13-As-Sayid Abi Solih Musa al-Jankardusti

14- As-Sayid MUHYIDDIN SYEIKH ABDUL QADIR AL- JILANI R.A

15-As-Sayid Solih r.a

16-As-Sayid Abdul Jabbar r.a

17-As-Sayid al-Syeikh Abdul Qadir r.a.

18-AS-SAYID SULTAN AL-ARIFIN SYEIKH ISMAIL R.A.(makam baginda terletak di Pulau Besar Melaka)


Pada 1470M ketika usianya tujuh tahun, Syeikh Ismail telah dibawa oleh keluarganya untuk menunaikan fardhu haji di Mekah al-Mukarramah. Setelah selesai menunaikan fardhu haji mereka kemudiannya berangkat ke Madinah al-Munawwarah bagi menziarahi makan Nabi Muhammad s.a.w. Suatu peristiwa yang mencarik adat telah berlaku di mana sebaik-baik sahaja mereka memberi salam kepada Rasulullah, mereka telah dapat mendengar jawapan salam Rasulullah dari dalam makamnya di Raudhah al-Syarif. Dengan suara yang jelas dan nyata mereka telah dapat mendengar Rasullullah bersabda :

"Wahai anakkku Ismail, bermusafirlah akan dikau bersama rombonganmu ke Tanah Jawi. Kamu akan dapati di sana saudaramu senasab."

Dengan berlakunya peristiwa di Raudhah itu membuatkan Syeikh Abdul Qadir dan isterinya Saiyidah Fatimah semakin sangat kasih kepada anaknya itu serta diberikan perhatian lebihkepadanya. Sesampainya mereka kembali ke Baghdad, Syeikh Ismail telah diberi pendidikan dengan sempurna dan diajari akan akhlak yang terpuji bagi mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad s.a.w. Kedua ibu bapanya menyedari bahawa anak mereka itu telah dipilih oleh Allah untuk melaksanakan misi dakwah ke Tanah Jawi. Mereka bersyukur tehadap nikmat tersebut serta mulai merangka dan menyusun persiapan terhadap misi tersebut. Bagi mensyukuri anugerah Allah itu keluarganya telah mengadakan kenduri menjamu makan kepada tetamu dan faqir miskin. Berita mengenai Syeikh Ismail yang diarahkan oleh Rasulullah berhijrah ke Tanah Jawi telah menjadi berita hangat di kalangan penduduk setempat.

Bagi keluarga yang terdekat dan penduduk setempat, peristiwa itu tidaklah menghairankan sangat jika berlaku ke atas diri Syeikh Ismail kerana sebelum itupun telah berlaku juga perkara yang seumpama dengannya. Peristiwa itu berlaku ketika usianya tiga tahun di mana masyarakat Islam sedang menanti kedatangan anak bulan Ramadhan untuk menjalani fardhu puasa. Pada suatu petang secara tiba-tiba sahaja Syeikh Ismail menunjuk-nunjuk ke arah langit dengan menggunakan jari telunjuknya. Ternyata apa yang ditunjukinya itu ialah anak bulan Ramadhan Al-Mubarak. Penduduk qariah itu berpuasa kesekaliannya dan mereka merasakanbahawa si anak kecil itu punyai sesuatu yang luar biasa. Mereka mengkagumi dan mengasihi akan dirinya.

Seperkara lagi mengenai al-khirqul 'adat yakni perkara yang mencarik adat yang berlaku sewaktu kecilnya ialah serentak dengan masa kelahirannya itu telah lahir pula 116 bayi lelaki di sekitar Baghdad. Anehnya kesemua mereka menjadi rakan dan pengikut Syeikh Ismail dan kesemua mereka menjadi para kekasih Allah Ta`ala adanya. Demikianlah di antara kekeramatan Syeikh Ismail sedari beliau masih kecil. Mengertilah kita bahawa Syeikh Ismail adalah pilihan Allah untuk melaksanakan misi yang besar di kemudian hari.

Dengan bakat dan kemampuan yang luar biasa disertai dengan berkat asuhan ibu bapanya yang telah menghantar beliau mempelajari ilmu agama ke merata-rata tempat dan berguru dengan berbagai guru akhirnya Syeikh Ismail menjadi seperti apa yang diharapkan. Hampir kesemua cabang-cabang ilmu dalam Islam telah dikuasainya, seluruh ayat al-Quran berada di dada ingatannya. Semakin banyak ilmu yang dipelajarinya semakin bertambahlah ketakutannya kepada Allah yang dengan itu menyaksikan betapa beliau telah menyibukkan dirinya pada tiga perkara iaitu pada kitabnya, pada sejadah sembahyangnya dan pada biji tasbihnya. Dalam pada itu senantiasalah beliau mendampingi gurunya Syeikh Yusuf as-Sidiq yang menjadi al-Mursyid kepada dirinya, yang bertindak selaku pembimbing terhadap kemajuan perjalanan kerohaniannya.

Sementara dari sudut akhlak pula ternyata Syeikh Ismail memiliki akhlak terpuji. Saban hari beliau berdoa ke Hadrat Ilahi agar dikurniakan kepadanya kekuatan bagi mengikuti Sunnah Nabi sama ada pada perbuiatan dan percakapan mahupun pada amalan. Doa beliau itu diperkenankan Tuhan sehingga menjadilah akhlaknya menghampiri kepada akhlaknya Rasulullah s.a.w. Diperuntukkan masanya untuk berhubung dengan Tuhan dan masa untuk menjalin perhubungan sesama makhluk.


Pada suatu hari Allah Ta`ala telah mengilhamkan kepada Syeikh Ismail melalui tidurnya agar beliau pergi sekadar segera menziarahi makan Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah al-Munawwarah. Ilhamnya itu dimusyawarah bersama ibu bapa dan gurunya Syeikh Yusuf as-Sidiq. Ilham itu mengingatkan mereka kembali peristiwa ketika beliau berusia tujuh tahun dahulu. Syeikh Abdul Qadir dan isterinya Saiyidah Fatimah menyedari bahawa waktu perpisahan dengan anaknya hampir tiba. Meskipun terasa juga beratnya di hati, namun kedua ibubapa yang mukmin itu merelakan anak mereka pergi, demi kerana Allah dan demi kerana Rasul dan demi kerana agama. Syeikh Yusuf as-Sidiq kemudiannya menetapkan tarikh keberangkatan serta memilih ahli rombongan yang akan bersama menuju Madinah al-Munawwarah. Jika dulunya Syeikh Ismail di temani ibu bapanya tetapi perjalanan kali ini dipimpin oleh mursyidnya Syeikh Yusuf as-Sidiq sendiri. Ilham yang mendatangi Syeikh Ismail itu ialah suatu ilham Rabbani yang memilih beliau untuk melaksanakan tugas untuk menyampaikan Islam di Nusantara.

Setelah sampai di Tanah Haram mereka menyempurnakan syarat dan rukun bagi umrah kemudian bergegas ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi 'Kekasih Allah' yang merupakan penghulu segala nabi. Sebaik sahaja mereka berada di Raudhah, sekali lagi berlaku perkara yang mencarikkan adat. Kelihatan dua tangan baginda Rasulullah keluar dari makamnya dan terdengar suara :

"Asslamualaika wahai anakku Ismail, berangkatlah kamu serta orang-orangmu ke Tanah Jawi. Bersabarlah dalam menempuh segala rintangan. Ajarilah dan pimpinilah akan umatku di sana dengan pengajaranku. Mintalah restu dengan menziarahi moyangmu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani". (Tuhfatul Abrar; hlm 8-14)


Demikianlah ujaran baginda Rasulullah yang mengarahkan Syeikh Ismail r.a. dan mereka yang berserta dengannya menjalankan suatu misi dakwah Islamiah di Tanah Jawi.

Yang dimaksudkan dengan Tanah Jawi ialah Gugusan Pulau-Pulau Melayu atau juga dikenali dengan 'Malay Archipelago' yang meliputi Semenanjung Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak, Singapura, seluruh negara Indonesia, Filipina, Brunei, pulau-pulau Nusatenggara, Kemboja dan Thailand. Gugusan Kepulauan Melayu ini juga dikenali dalam bahasa Arab sebagai Qutri Jawa atau Jazair Jawa merupakan negeri yang kedudukannya begitu jauh dengan Tanah Arab. Oleh sangat jauhnya itu maka ulama` besar Madinah pada tahun 1082 Hijrah bersamaan 1670 Masehi yang bernama Syeikh Mulla Ibrahim al-Qourani ketika menjawab satu surat pertanyaan, beliau berkata :

"Menjawab suatu pertanyaan yang datang kepadanya daripada sesetengah Jazair Jawa di negeri Hindustan yang sangat jauh itu"

No comments:

Post a Comment