Saturday, April 10, 2010

SYI‘AH IMAMIYYAH ITHNA ‘ASYARIYYAH

Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan orang Islam mencemuh dan mengutuk para sahabat Nabi r.hum., bahkan lebih parah lagi melabelkan mereka sebagai munafiq dan kafir. Mereka melontarkan tuduhan bahawa sahabat menyembunyikan fakta-fakta penting agama dan juga menyelewengkan al-Quran. Justeru mereka meragui kebenaran dan kesahihan ajaran Islam yang ada pada hari ini lantaran ianya dibawa oleh sahabat Nabi s.a.w dan sebagai alternatif mereka cuba menampilkan satu bentuk ajaran lain yang kononnya datang dari anak cucu Nabi s.a.w. (Ahlul bait)

Risalah ini bertujuan untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada masyarakat mengenai fahaman Syi‘ah* supaya mereka menjauhi dan tidak terpengaruh dengan fahaman tersebut dan bertujuan menyedarkan mereka yang terbabit bahawa pegangan fahaman Syi‘ah adalah bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.



Siapakah Syi‘ah?

Syi‘ah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina ‘Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain. Inilah perkara pokok yang membezakan golongan Syi‘ah daripada golongan-golongan Islam yang lain. Terdapat beberapa banyak aliran di dalam Syi‘ah itu sendiri yang pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut di atas. Tetapi aliran-aliran itu berbeza antara satu dengan yang lain kerana wujudnya fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran yang saling berbeza. Tetapi tumpuan yang utama akan diberikan kepada Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah* kerana kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung dengan Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah. Syi‘ah inilah yang dipertikaikan oleh para ‘ulama’ di setiap tempat pada masa ini kerana ramainya bilangan mereka dan kedudukan mereka yang semakin popular terutama selepas tercetusnya revolusi di Iran.



SYI‘AH IMAMIYYAH ITHNA ‘ASYARIYYAH

Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah ialah Syi‘ah yang mempercayai keimaman dua belas orang imam secara berturut seperti di bawah ini:-

1. ‘Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)

2. Hasan bin ‘Ali (wafat 50 H)

3. Husain bin ‘Ali (wafat 61 H)

4. ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Husain (wafat 94 H)

5. Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin (wafat 117 H)

6. Ja‘far as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)

7. Musa al-Kazim bin Ja‘far as-Sadiq (wafat 183 H)

8. ‘Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)

9. Muhammad al-Jawaad bin ‘Ali ar-Ridha (wafat 220 H)

10. ‘Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)

11. Hasan bin ‘Ali al-‘Askari (wafat 260 H)

12. Muhammad bin Hasan al-‘Askari al-Mahdi (ghaib 260 H)

Mereka percaya Imam Kedua Belas telah ghaib dan ia akan muncul kembali ke dalam masyarakat setelah dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan kekacauan. Mereka juga percaya kepada al-bada’, ar-raj‘ah, tahrif al-Qur’an, (akan dijelaskan secara terperinci di dalam siri-siri selepas ini ), kemurtadan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman r.a. dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain, ‘ismah para imam dan lain-lain. Biasa juga Syi‘ah ini disebut sebagai Syi‘ah Imamiyyah atau Ja‘fariyyah sahaja. Syi‘ah ini juga dikenali sebagai Rafidhah kerana fahaman-fahaman dan ‘aqidah-‘aqidahnya yang melampau.

Di Malaysia kumpulan Syi‘ah ini dipercayai mula bertapak selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syi‘ah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syi‘ah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman Syi‘ah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syi‘ah dan mengharamkannya dari diamalkan di Malaysia.

Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syi‘ah ;

Selangor : 19 Januari 1998

W.Persekutuan : 3 April 1997

Terengganu : 25 September 1997

P. Pinang : 16 Januari 1997

N.Sembilan : 12 Mac 1998

Kelantan : September 1987

BEBERAPA CONTOH PENYELEWENGAN SYI‘AH

1) Syi‘ah - Al-Quran Sudah Diseleweng. Aqidah Syi‘ah mengatakan bahawa Al-Quran sekarang ini telah diubah, ditokok-tambah dan diselewengkan. Di dalam kitab Al-Fashlu Al-Khitaab at-Thabarsi menukilkan kata -kata Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi: "Bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal. 30)

AGAMA ISLAM - Tidak perlu dijelaskan hukum meragui kitab suci al-Quran.

2) Syi‘ah - Imam Adalah Maksum. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan:"Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai." (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91)

Bahkan imam-imam dianggap lebih tinggi kedudukannya dari Nabi-nabi a.s. Perkara ini dinyatakan dengan begitu banyak sekali dalam kitab-kitab muktabar Syi‘ah seperti Al-Anwar An-Nu’maniyah, Al-Kafi dan juga seperti yang disebutkan Khatimatul Muhaddisin (penyudah ahli hadis) di sisi Mulla Baqir Al-Majlisi dalam kitabnya Biharul Anwar jilid 27 hal. 29: Ali bin Hussain a.s. berkata: "Imam-imam boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan penyakit sopak dan buta serta berjalan di atas air, beliau berkata lagi: "Tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada Nabi-nabi kecuali akan diberikannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta diberikan juga kepadanya sesuatu yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi sebelumnya. Dan setiap apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. pasti akan diberikannya kepada Amirul Mukminin Ali a.s. bahkan kepada Hasan, Hussin a.s. kemudian kepada Imam-imam selepasnya sehingga hari kiamat dengan ditambah ilmu-ilmu yang baru (yang tidak dimiliki oleh Nabi-nabi) pada setiap tahun, pada setiap bulan dan demi Allah pada setiap saat."

AGAMA ISLAM- Jelas terdapat dalam al-Quran dan Hadits-hadits sahih menyatakan bahawa yang maksum hanyalah para rasul dan anbiya' sahaja. Oleh itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang qat'ie. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang bermaksud: "Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadits) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." (An-Najm ayat 3 - 4)

3) Syi‘ah - Ilmu Allah Berubah-ubah Mengikut Sesuatu Peristiwa Yang Berlaku Kepada Manusia (al-Bada'). Dari segi bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut akidah Syi‘ah , al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Disebutkan oleh al-Tabatabai dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh al-Kulaini juzu' 1 hal. 146:"AI-Bada" ialah zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami maksudkan dengan al-Bada' itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang sebelumnya itu adalah tersembunyi (daripada Allah S.W.T)".

BACA SAMBUNGAN DI ....

http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=125

No comments:

Post a Comment